Friday, June 26, 2009

TEKNIK KAUNSELING MODIFIKASI PERLAKUAN

Antara teknik yang boleh diguna dalam terapi perlakuan adalah seperti berikut:
1) penilaian; 2) mainan peranan; 3) gambaran imej; dan 4) desensitisasi bersistem.


1) Penilaian.

Teknik kaunseling perlakuan berasaskan pada maklumat data asas yang terkumpul oleh kaunselor. Data asas adalah penting bagi memulakan satu rancangan struktur terapi yang berkesan. Hubungan interaksi antara kaunselor dengan klien juga
memerlukan kaunselor bersifat berempati untuk mendapat kefahaman yang dikemukakan oleh klien. Teknik kaunselingnya juga memerlukan kemahiran kaunseling yang tepat, di samping kaunselor berupaya mengguna kaedah klinikal yang jitu serta peka dengan kehendak perubahan tingkahlaku klien.

Proses penilaian memerlukan kaunselor mendapatkan segala maklumat tentang masalah yang dialami oleh klien. Kaunselor perlu mengumpul maklumat tentang masa, cara masalah berlaku, cara yang diusaha oleh klien bagi mengatasi masalah, tempat, keadaan trauma yang pernah dialami, pengalaman klien dan berbagai lagi ciri maklumat tentang masalah yang dihadapi oleh klien.

Cara kaunselor menyoal dalam proses temuduga bagi mendapat maklumat adalah penting. Soalan yang bermula dengan perkataan mengapa wajar dihindar; manakala soalan yang bermula dengan bagaimana, apakah, bilakah, dan dimana wajar digalakkan. Walaupun
hasil dari persoalan yang dikemukan, kaunselor akan mendapat maklumat tetapi kaunselor tidak semestinya akan menerima sepenuhnya jawapan yang diberi oleh klien. Kepekaan kaunselor dalam mengenalpasti dan mencerap cara klien menjawab juga penting. Kaunselor sentiasa akan peka pada gerak geri dan cara klien menjawab bagi mencerap ciri yang tidak konsisten, cuba mengelak sesuatu atau membuat sesuatu yang terpesong dari yang benar.

Satu cara bagi mendapat penilaian dari klien adalah dengan mengguna laporan swadiri yang dibuat oleh klien. Laporan seperti ini pada biasanya lebih baik bagi pengumpulan maklumat tentang khayalan klien, pemikirannya dan juga perasaan mereka. Di samping ini, peranan kaunselor sebagai pembimbing memang terserlah dalam terapi perlakuan kerana keperluan secara terarah bagi mendapat maklumat.


2) Mainan peranan.

Satu teknik yang diguna dalam terapi perlakuan ialah mainan peranan. Cara ini sesuai dalam menangani masalah interaksi. Biasanya kaunselor bersetuju untuk mengambil atau memainkan peranan orang yang klien menghadapi bermasalah untuk berinteraksi. Dengan cara ini, kaunselor dapat mengenalpasti masalah induk yang klien hadapi dalam interaksinya dengan orang tersebut. Selanjutnya, kaunselor akan mampu untuk cuba mengubah tingkahlaku celaru yang dialami oleh klien dengan mengguna teknik
sampingan seperti latihan ketegasan diri, pelaziman, dan sebagainya.


3) Gambaran imej.

Teknik gambaran imej boleh memberi ingatan yang lebih jelas kepada klien tentang acara atau pengalaman yang dilalui sama ada yang lampau, sekarang atau yang akan datang. Cara ini dapat menyenangkan klien secara menggunakan simbol dalam imejnya tentang perkara yang menjadi kerumitannya. Di samping ini, kaunselor juga akan dapat persepsi serta penilaian yang lebih jelas tentang masalah klien setelah klien menghuraikan acara yang telah dialaminya dalam gambaran imej secara lisan.


4) Desensitisasi bersistem.

Teknik ini menerapkan penggunaan gambaran imej dengan latihan relaksasi bagi menghasilkan suasana selesa yang boleh diterima klien. Desensitisasi bersistem biasanya diguna sebagai satu teknik bagi menghindar keadaan keresahan yang dialami klien. Proses permulaannya adalah dengan mengasingkan terlebih dahulu acara yang menjadi pemangkin keresahan atau kegelisahan yang sedang dialami klien. Keadaan ini diukur dalam satu bentuk kontinum antara acara yang meresahkan hingga satu penghujunag yang sangat mengancam ketenteraman klien.

Latihan relaksasi secara beransur biasanya diterap sebagai elemen penghindar yang bertentangan dengan perasaan dan pemikiran keresahan atau kegelisahan. Kaunselor akan mengasuh klien membayangkan atau mengambarkan dalam bentuk satu hairaki imej bermula dengan acara yang kurang meresahkan dan beransur-ansur bergerak ke arah hairaki yang lebih tinggi dengan keadaan yang paling mengancam klien. Proses relaksasi disematkan ke dalam imej klien semasa klien mengambarkan imej-imej yang dirasakan kurang selesa, sehingga imej tersebut bertukar menjadi selesa pada pandangan dan pemikiran klien. Proses in diulang dan kaunselor akan hanya memimpin klien bergerak ke tahap hairaki lebih tinggi apabila klien sudah mampu menangani keadaan keresahan yang baru dilalui dalam latihannya.


copyright © othmanmohamed 1997(Profesor Madya Dr. Othman Dato' Haji Mohamed)
------------------------------------------------------------------

Kata Kunci:

penilaian
gambaran imej
mainan peranan
desensitisasi bersistem

http://www.educ.upm.edu.my/~othman/modul7a.htm (22 April 2008)

No comments:

Post a Comment